28 Oktober 2017: Bajet 2018 telah sempurna dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang boleh disifatkan sebagai pembentangan yang paling menarik berbanding pembentangan bajet-bajet yang lalu, khususnya terhadap pengiktirafan dan perhatian yang diberi ke arah meningkatkan martabat wanita, selaku penyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara dan pendapatan isi rumah.

Yasnita, selaku sebuah yayasan yang aktif menganjurkan program-program latihan, kemahiran, kepemimpinan dan keusahawanan, khususnya bagi meningkatkan taraf ekonomi kumpulan isi rumah B40, rasa bersyukur dan mengalu-alukan langkah menjadikan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita. Dalam mengharungi arus kemajuan era digital yang begitu kompleks dan mencabar pada masa ini, kita jangan lupa bahawa di sebalik kejayaan seseorang insan yang bisa menggegar dunia adalah hasil sentuhan lembut seorang insan bergelar ibu, bak nukilan William Ross Wallace dalam puisinya, the hand that rocks the cradle is the hand that rules the world.

Golongan wanita Negara ini tidak pernah terpinggir, malah begitu bertuah kerana mendapat pelbagai pengiktirafan yang sewajarnya dengan kelayakan mereka untuk memimpin. Lantaran itu, memang bertepatan sekali dengan masa dan ketikanya dalam Bajet 2018 ini, Kerajaan mengorak langkah dengan terus memberi keyakinan terhadap kemampuan golongan hawa, apabila mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018. Syabas!

Bagi meringankan bebanan kos isi rumah, Yasnita turut mengalu-alukan langkah bagi kebenaran yang diberikan untuk melakukan pengambilan pembantu rumah asing secara terus, tanpa melalui ejen. Langkah ini akan dapat mengurangkan kos daripada sekitar RM18,000 (dengan khidmat ejen) kepada serendah RM3,000 (tanpa khidmat ejen), bagi pengambilan seorang pembantu rumah asing.

Selaras dengan tema Bajet 2018, Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbangi Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, Yasnita mendoakan agar segala hasrat dan cita-cita yang dirancang akan dapat dizahirkan dengan jaya, Insya-Allah.

 

TAN SRI DATIN PADUKA HAJAH ZALEHA ISMAIL
PENGERUSI
YAYASAN SUARA WANITA
27 Oktober 2017

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1404969

Categories: Berita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up