Berita

SATU USAHAWAN DALAM SETIAP KELUARGA – TAN SRI ZALEHA ISMAIL

 

KUALA LUMPUR, Khamis 24 Ogos 2017:  Alumni Urutpreneur digesa mempertingkat ilmu keusahawanan agar tercapainya matlamat sekurang-kurangnya satu usahawan dalam setiap keluarga.

Pengerusi Yayasan Suara Wanita (Yasnita), Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Ismail berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian kumpulan peserta Urutpreneur yang telah mengikuti beberapa siri Kursus Usahawan Rawatan Wanita Selepas Bersalin, dan kini bergerak secara individu atau mengusahakan perniagaan SPA masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, Yasnita telah menjalin kerjasama dengan Stellavingze International, supaya alumni Urutpreneur dapat memanfaatkan kolaborasi itu bagi menerapkan transformasi serta meningkatkan kualiti modal insan mereka selaku seorang usahawan urutpreneur.

“Tingkatkanlah ilmu perniagaan dan rebutlah peluang pasaran yang begitu menggalakkan sekarang ini,” kata Tan Sri Zaleha Ismail lagi.

Beliau berkata demikan di majils penutup Kursus Urutpreneur++ (Pemantapan & Kepelbagaian) yang dihadiri kira-kira 80 alumni Urutpreneur yang berlangsung di Wisma Melilea, Bangsar South di sini.

Kertas kerja dibentangkan oleh empat orang penceramah, iaitu Puan Sofia Leong Abdullah yang juga Ahli Exco Yasnita (Taklimat Kluster Urutpreneur++ & Digital Marketing dan Why You Want To Be Rich); Puan Siti Aishah Abdul Rahman (Kursus Pemantapan dan Praktikal Urutan); dari Indonesia, Ibu Yusti Luhur (Mobile Spa) dan Cik Winda (Nutrition Talk).

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Yasnita dan Stellavingze International. Di akhir kursus, acara potong kek dilakukan oleh Tan Sri Zaleha bersempena Hari Wanita Kebangsaan yang disambut pada 25 Ogos.