Berita

NASIB WANITA LEBIH TERPELIHARA JIKA CELIK UNDANG-UNDANG

 

KUALA LUMPUR, Sabtu 10 Jun 2017: Golongan wanita Islam khasnya, harus berani dan peka untuk tampil dalam aktiviti anjuran badan-badan bukan kerajaan, NGO, agar lebih celik dan termaklum dengan hak mereka mengikut undang-undang, terutama dalam isu perceraian dan hak asasi wanita dalam sudut pandangan Islam.

Pelbagai persoalan dibangkitkan oleh peserta Seminar Dialog Celik Undang-undang – Wanita Terpelihara, yang berlangsung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, seperti hak tuntutan harta sepencarian oleh isteri-isteri lain (jika suami berpoligami), persoalan nyusyuz dan pemberian nafkah anak melalui potongan gaji.

Kira-kira 20 peserta wanita termasuk di kalangan individu dan wakil institusi termasuk Yasnita, hadir dalam sesi yang julung kali dianjurkan bersama oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Association of Muslima in Nurture and Advocacy (AMNA) dan Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Ucaptama seminar disampaikan oleh Prof. Dr. Datin Raihanah Abdullah dengan tajuk Hak Wanita Dalam Islam, manakala sesi dialog mengenai Peruntukan Perundangan dan Prosedur Tuntutan di Mahkamah Syariah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Aishah Hassan yang juga Presiden AMNA; Puan Marlina Amir Hamzah selaku Naib Presiden II PPMM; dan Dr. Mohd. Norhusairi Mat Hussain, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang API-UM.