Berita

SUMBANGAN AWAM KE RUMAH ANAK YATIM NUR QASEH MEROSOT 80%

TAMAN MELAWATI, KUALA LUMPUR, Khamis 8 Jun 2017: Sumbangan orang awam dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan harian bagi penghuni Rumah Anak Yatim Nur Qaseh di sini, amat berkurangan berbanding tahun lalu.

“Kali ini kita dapat bantuan untuk anak-anak ini dalam 20 peratus sahaja berbanding jumlah yang diterima tahun lalu,” kata Pengasasnya, Puan Roslida Che Wail.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk memberi sumbangan bagi keperluan harian kehidupan anak-anak yatim di situ, terutama dalam mood bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

Rumah Anak Yatim Nur Qaseh ini memberi perlindungan sepenuh masa kepada 24 orang penghuni perempuan dan seorang lelaki, berusia dari 4 tahun hingga 17 tahun. Terdapat kira-kira 50 orang lagi anak-anak yatim dari luar, yang dipanggil untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh Rumah Anak Yatim Nur Qaseh.

Empat pekerja bertugas di sini, termasuk 2 pekerja am, 2 warden dan seorang pemandu van.

Baru-baru ini anggota pengurusan YASNITA menghantar pelbagai bentuk sumbangan berupa keperluan makanan harian bagi anak-anak yatim di situ.

Sumbangan wang tunai boleh salurkan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia di akaun Maybank 5642-2163-0219 atau berhubung di nombor 011-1970 1598.

 

Alamat facebook: Nur Qaseh Tmn Melawati