Berita

YASNITA TAJA IFTAR DAN SAHUR MAAHAD TAHFIZ

KAJANG, Jumaat 2 Jun 2017: Yayasan Suara Wanita, Yasnita memanifestasikan rasa kesyukuran di bulan Ramadhan dengan menaja iftar dan makan sahur kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz di Taman Desa Mekar, Sungai Merab di sini, pagi tadi.

Ahli Lembaga Pengarah Yasnita, Sofia Leong Abdullah selaku wakil Pengerusi Yasnita, Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Ismail berkata sumbangan ini menjadi sebahagian daripada program menjalin silaturrahim bersama masyarakat khususnya golongan hawa, termasuk di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Dalam lawatan itu, beliau bersama Pengurusan Yasnita, menunaikan solat dhuha dan solat hajat bersama 24 pelajar perempuan dan tenaga pengajar Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz.

Pengetua Orkeed Huffaz, Puan Nurnadhrah Mohamed Yunos berkata Maahad Tahfiz ini dibuka pada tahun 2015 dengan konsep memberi pendidikan tahfiz dalam suasana persekitaran yang kondusif.

“Kesedaran masyarakat untuk menghantar anak-anak mengikuti pendidikan tahfiz semakin tinggi, namun di tempat saya ini saya menyewa sebuah banglo yang boleh muat hanya untuk 20 orang pelajar sepenuh masa dan empat lagi pelajar sambilan.

“Di sini semua pelajarnya adalah perempuan dan terdapat tiga tenaga pengajar untuk mendidik mereka menjadi seorang hafiz, menghafal bacaan ayat suci al-Quran dalam tempoh tiga tahun, insyaAllah,” katanya.

Beliau mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Yasnita dan menyifatkan program sebegini dapat memberi semangat kepadanya sebagai seorang pengusaha Maahad Tahfiz.