Berita

KURSUS URUTPRENEUR SIRI 9

MELAKA, 22 Oktober 2015 – Bersempena Kursus Urutpreneur Siri ke – 9 anjuran Yayasan Suara Wanita (Yasnita) dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) pada 20 hingga 22 Oktober 2015, telah berlangsung Majlis Perasmian Kursus Urutpreneur Siri ke – 9 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Melaka yang dirasmikan oleh Y.Bhg Datin Engr. Zaitun bt Md Isa, Pengerusi Perkep JPJKK merangkap Biro IKS Perkep Malaysia (mewakili Pengerusi Perkep Malaysia). Turut hadir dif-dif kehormat dari kontinjen Bukit Aman, kontinjen JPJKK, kontinjen Melaka, kontinjen Johor & kontinjen Negeri Sembilan.

Pada ucapan penutup, Ketua Pegawai Operasi Yasnita Cik Nur Azween Zakaria mewakili Y.Bhg Tan Sri Datin Paduka Seri Hajah Zaleha Ismail, Pengerusi Yasnita menekankan kepentingan mewarisi ilmu dan kemahiran urut Tradisional dalam kalangan generasi muda agar warisan tersebut tidak pupus di telan zaman. Objektif kursus Urutpreneur turut diterangkan secara terperinci agar para peserta memahami objektif dan matlamat kursus tersebut diadakan. Beliau turut memaklumkan anggaran pendapatan yang dapat diperoleh sebagai tukang urut/ahli terapi boleh mencecah sehingga RM7000 sebulan berdasarkan maklum balas daripada peserta-peserta Urutpreneur lepas. Perkongsian maklumat tersebut diharap dapat membakar semangat para peserta untuk menceburi bidang Urutpreneur dan menjana pendapatan tambahan kepada mereka.

Sepanjang kursus dijalankan, modul mengenai kepentingan penjagaan dalam pantang seperti anatomi peranakan, mengenal urat saraf, praktikal kenal urat (urutan pemulihan), urutan ibu hamil, bertungku, bertuam, berbarut, bengkung, rawatan bertasak, teknik melulur / melangir, & rawatan berdiang / bergagang turut diajarkan secara terperinci kepada peserta.

Menerusi sessi demonstrasi urutan / cara ikatan bengkung secara tradisional, penceramah mempamerkan demonstrasi urutan dan ikatan bengkung di atas pentas manakala peserta bagi setiap kumpulan dipantau dan dibantu oleh fasilitator bagi melaksanakan proses tersebut dengan betul dan teliti. Alatan yang digunakan sepanjang kursus urut berlangsung seperti minyak urut, bengkung, tungku, serbuk pilis / lulur turut diberikan secara percuma kepada peserta agar mereka mudah mempraktikkan amalan yang dipelajari.

Sebagai pengetahuan tambahan, para peserta telah diberikan petua-petua mandian herba & beberapa tips untuk kesihatan dalaman wanita. Kursus selama tiga hari ini berlangsung dengan jayanya dan di akhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta terbaik individu dan berkumpulan.