Berita

KURSUS URUTPRENEUR SIRI 8

AMPANG, 14 Ogos 2015 – Bersempena Kursus Urutpreneur Siri ke – 8 anjuran YASNITA dengan kerjasama PERKEP pada 12 hingga 15 Ogos 2015, telah berlangsung Majlis Perasmian Kursus Urutpreneur Siri ke – 8 bertempat di Hotel Flamingo, Ampang yang dirasmikan oleh Y.Bhg Puan Sri Dato’ Imran binti Ibrahim, Pengerusi Perkep Malaysia. Turut hadir Y. Bhg Tan Sri Datin Paduka Seri Hjh Zaleha Ismail, Pengerusi Yayasan Suara Wanita dan dif-dif kehormat dari kontinjen Perkep Biro Industri Kecil, kontinjen Kuala Lumpur & kontinjen Selangor.

Pada ucapan aluan, Pengerusi Yasnita menekankan kepentingan mewarisi ilmu dan kemahiran urut Tradisional dalam kalangan generasi muda agar warisan tersebut tidak pupus di telan zaman. Objektif kursus Urutpreneur turut diterangkan secara terperinci agar para peserta memahami objektif dan matlamat kursus tersebut diadakan. Alumni urutpreneur siri sebelumnya iaitu Puan Roslawaty binti Hamid turut hadir berkongsi pengalaman bagaimana beliau mula berminat untuk menjadikan bidang urutan sebagai kerjaya selepas bersara daripada Perkep. Pendapatan yang diperoleh pada setiap bulan hampir mencecah RM7000 membuktikan pilihan kerjaya yang dibuat adalah tepat. Perkongsian pengalaman tersebut diharap dapat membakar semangat para peserta untuk menceburi bidang Urutpreneur dan menjana pendapatan tambahan kepada mereka.

Sepanjang kursus dijalankan, modul mengenai kepentingan penjagaan dalam pantang seperti anatomi peranakan, mengenal urat saraf, praktikal kenal urat (urutan pemulihan), urutan ibu hamil, bertungku, bertuam, berbarut, bengkung, rawatan bertasak, teknik melulur / melangir, rawatan berdiang / bergagang & urutan bayi turut diajarkan secara terperinci kepada peserta.

Menerusi sessi demonstrasi urutan / cara ikatan bengkung secara tradisional, penceramah mempamerkan demonstrasi urutan dan ikatan bengkung di atas pentas manakala peserta bagi setiap kumpulan dipantau dan dibantu oleh fasilitator bagi melaksanakan proses tersebut dengan betul dan teliti. Alatan yang digunakan sepanjang kursus urut berlangsung seperti minyak urut, bengkung, tungku, serbuk pilis / lulur turut diberikan secara percuma kepada peserta agar mereka mudah mempraktikkan amalan yang dipelajari.

Sebagai pengetahuan tambahan, para peserta telah diberikan petua-petua mandian herba & beberapa tips untuk kesihatan dalaman wanita. Kursus selama empat hari ini berlangsung dengan jayanya dan di akhiri dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta terbaik individu dan berkumpulan.