Berita

YASNITA DI SAMBUTAN HARI WANITA 2015

PUTRAJAYA, 24 Ogos 2015 – Bersempena dengan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2015, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Sambutan pada kali ini telah menghimpunkan lebih 3000 wanita mewakili pelbagai organisasi samada Badan Kerajaan, Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik dan usahawan wanita. Dengan bertemakan “Raikan Kegemilangan”, sambutan dimulakan dengan bicara forum mengenai wanita yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Madeline Berma dari Pusat Kepimpinan Wanita UKM dan Puan Rozita Ibrahim, Pengasas Sendayu Tinggi.

Sambutan pada kali ini diserikan lagi dengan kehadiran Y.A.B Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sebagai perasmi. Terdapat dua sejarah penting berjaya dilakar pada majlis tersebut. Pertama, penyampaian watikah pelantikan Kursi Kepimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Tan Sri Rafiah Salim. Kedua, penubuhan Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan 17 lagi wanita daripada pelbagai latar belakang, agama, umur dan kerjaya.

Menerusi ucapannya, perdana menteri turut menyeru agar kementerian lain turut mengikuti Kementerian Wanita dalam melaksanakan aturan kerja anjal bagi menarik lebih ramai penyertaan wanita dalam pasaran kerja. Malah, beliau turut menyarankan agar pembinaan Taska diperluaskan di tempat kerja agar dapat melahirkan tenaga kerja wanita yang produktif di samping memberi bimbingan secara langsung kepada kanak-kanak supaya mereka menjadi insan berguna.