Berita

PROGRAM LATIHAN KEPIMPINAN WANITA

Program Latihan Kepimpinan Wanita anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Mei 2015 bertempat di Pusat Pembangunan Wanita Selangor, Plaza Peransang Shah Alam.

 

Dengan mengfokus kepada pemimpin wanita peringkat akar umbi di Negeri Selangor sebagai peserta, pengendalian program latihan ini melalui tiga fasa utama iaitu 1) Ceramah daripada pakar jemputan; 2) Bengkel dan perbincangan kumpulan serta 3) Pembentangan peringkat kumpulan. Ceramah dimulakan dengan slot K-Leader oleh penceramah Prof. Madya Dr. Madeline Berma mengenai cara-cara mendapatkan sumber maklumat, pengurusan kewangan, jaringan pintar, pengetahuan am mengenai bidang / organisasi serta isu-isu semasa. Program ini diserikan lagi dengan kehadiran tetamu khas, Tan Sri Datin Paduka Seri Hjh Zaleha Ismail Pengerusi Yayasan Suara Wanita (Yasnita) yang turut menceritakan pengalaman beliau sebagai pemimpin.

 

Penerapan Modul Latihan Komunikasi yang merangkumi aspek ketrampilan, interpersonal, pengaruh adab dan profesionalisme disampaikan oleh Dato’ Faridah Khalid manakala Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham menyampaikan slot terakhir ceramah bertajuk Pengurusan Emosi dan Spiritual. Program Latihan Kepimpinan ini diharap dapat memberi faedah  kepada pemimpin wanita peringkat akar umbi mengenai asas kepimpinan bagi membantu dalam mentadbir, mengurus dan memajukan setiap kampung.